6 Minggu Pertama

Enam minggu pertama adalah tempoh penting yang akan memastikan sama ada anda dapat meneruskan penyusuan susu ibu ataupun tidak. Ketahui tips yang akan membantu anda menjayakan penyusuan susu ibu.

  1. Bersedia dari awal. Sebelum menimang cahaya mata lagi, pastikan anda melengkapkan diri dengan pengetahuan tentang penyusuan seperti menghadiri kelas penyusuan , membaca buku yang berkaitan dengan penyusuan ataupun menonton video tentang posisi dan cara lekapan yang betul semasa penyusuan.
  2. Tanya pakar. Sebilangan bakal ibu menyifatkan penyusuan sebagai suatu perkara yang sensitif dan peribadi, tetapi anda tidak boleh memendam sahaja perkara ini tanpa mencari jalan penyelesaiannya. Jangan segan untuk bertanya kepada orang yang rapat dengan anda seperti ibu, nenek, kakak, atau saudara-mara, jiran dan rakan-rakan. Jika tidakpun, berjumpalah dengan perunding laktasi bagi mendapatkan nasihat dan panduan untuk menjayakan penyusuan susu ibu.
  3. Cukup makan dan minum. Ramai ibu-ibu yang tidak sabar untuk berdiet selepas hamil, akibatnya penyusuan mereka menurun disebabkan kurang zat dan nutrisi pada badan untuk disalurkan kepada bayi. Jadi, pastikan tubuh anda mendapat nutrisi yang mencukupi daropada setiap permakanan yang diambil. Jangan pula abaikan pengambilan air kerana tubuh yang mengalami dehidrasi akan mengurangkan pengeluaran susu.
  4. Minta Bantuan. Semasa awal kelahiran, jangan sibukkan diri untuk membuat perkara-perkara lain, sebaiknya tumpuan utama perlu diberikan kepada si manja anda. Jadi, mintalah bantuan pasangan atau ahli keluarga untuk melakukan kerja mencuci baju, memberikan rumah ataupun memasak.
  5. Yakin. Pakar memberitahu bahawa antara alasan utama ibu baru berhenti memberikan penyusuan eksklusif kepada bayi mereka adalah kerana mereka takut jika anak tidak mendapat susu yang mencukupi. Namun, tahukah anda bahawa untuk mengetahui sama ada anak anda kenyang atau tidak adalah dengan melihat kepada banyak faktor seperti kekerapan penyusuan, kekerapannya kencing atau membuang air besar.
  6. Pelajari cara lekapan yang betul. Kebanyakan masalah penyusuan boleh dielakkan dengan lekapa yang betul. Pastikan mulut si manja anda melekap betul pada bahagian areola bukan hanya pada puting payudara sahaja.
  7. Kenal pasti punca masalah lebih awal. Jika anda mengalami masalah tentang penyusuan, segeralah berjumpa dengan pakar untuk mendapatkan nasihat!